copyright protected ^___^

Friday, 24 August 2012

emosi MARAH >:(



Pengalaman marah yang pernah dialami oleh saya ialah ketika saya berumur 17 tahun. Ketika itu saya masih bersekolah dan berada di tingkatan lima. Pengalam marah yang tidak dapat saya lupakan ialah apabila rakan sekelas saya merosakkan novel kesayangan saya. Kebanyakan rakan saya sudah sedia maklum bahawa saya sangat menyayangi novel-novel saya. Bahkan mereka juga tahu bahawa saya sukar untuk meminjamkan novel-novel saya kepada orang lain. Mungkin satu bonus bagi orang-orang yang dapat meminjam novel saya. Saya sangat menyayangi novel saya kerana saya telah membelinya dengan menggunakan duit saya sendiri. Jadi, saya sangat menghargai setiap satu novel yang saya miliki.
Situasi bermula apabila rakan saya melihat novel tersebut dibaca oleh kawan baik saya, Afifah. Kemudian, dia telah datang menemui saya dengan tujuan untuk meminjam novel tersebut. Pada awalnya, saya berasa sangat berat hati untuk membenarkannya, tetapi setelah dia memujuk dan berjanji untuk menjaganya dengan baik, akhirnya saya telah bersetuju untuk membenarkan dia meminjam novel tersebut. Setelah mendapat persetujuan daripada saya, berkali-kali dia menyatakan janjinya kepada saya. Oleh itu, saya meletakkan kepercayaan terhadap dia untuk menjaga novel saya. Lebih-lebih lagi, novel tersebut merupakan novel terbaharu di pasaran pada waktu itu. Bagi menjamin keselamatan novel saya, tempoh dua minggu telah saya berikan kepada dia memandangkan novel tersebut tidaklah terlalu tebal.

Dua minggu kemudian...
Setelah dua minggu berlalu, saya mula menagih kembali novel yang telah saya pinjamkan kepada rakan saya itu. Apabila saya minta dan bertanya kepada dia soal novel tersebut, dia sering mengelak. Katanya dia belum sempat untuk menghabiskan bacaannya. Saya beri lagi masa selama dua hari. Masuk minggu ketiga, saya tidak boleh bertangguh lagi. Walau apa pun, saya mesti meminta kembali novel saya. Namun, saya berasa amat terkejut apabila saya mendapati novel saya berada dalam keadaan yang amat teruk. Muka hadapannya berlipat-lipat, penanda buku hilang, halaman dalamnya berconteng-conteng dan yang paling memeranjatkan saya ialah beberapa halaman dalam novel tersebut telah hilang. Apabila saya bertanya kepada dia mengenai hal sebenar yang berlaku pada novel saya, dia hanya berkata bahawa adiknya yang telah merosakkan buku tersebut. Setahu saya, adik bongsunya sudah berumur 13 tahun. Masakan budak berumur 13 tahun hendak merosakkan buku sedemikian rupa.
Saya berasa sangat marah apabila melihat keadaan novel saya yang amat kronik. Rasa marah saya bertambah-tambah apabila mengenangkan novel tersebut baru saja saya beli. Bahkan saya beli setelah saya mengumpul duit selama sebulan. Tambah kecewa lagi ialah saya benar-benar minat pada novel tersebut. Saya berasa sangat marah ketika itu kerana dia telah merosakkan kepercayaan yang saya letakkan pada dia untuk menjaga novel saya. Jika ikutkan kata hati, mahu saja saya memarahi dia di hadapan rakan-rakan yang lain dan memintanya untuk menggantikan novel saya dengan novel yang baru atau saya mengenakan denda kepada dia kerana telah merosakkan barang saya.
Namun begitu, atas dasar rakan sekelas, saya berusaha mengawal emosi saya dengan menjauhkan diri saya daripada dia. Hal tersebut bertujuan untuk mengelakkan saya memarahi dia secara terang-terangan. Saya pergi ke luar kelas untuk menenangkan diri dan menstabilkan emosi saya. Saya yakin bahawa perasaan marah sedang meluap-luap dalam diri saya. Oleh kerana rasa kecewa, saya menangis untuk melepaskan perasaan saya. Kemudian, saya tenangkan diri kembali. Saya mengambil masa yang agak lama untuk menstabilkan emosi saya seperti sediakala.
Sebagai pengajaran, kini saya lebih berhati-hati apabila memberi kebenaran kepada orang yang ingin meminjam novel saya. Sehingga kini saya masih tidak mengetahui niat sebenar rakan saya merosakkan novel saya.

-FIZARA-

No comments:

Post a Comment